Pada tahun 1994, beberapa orang perintis yang mempunyai impian kecil telah memulakan langkah dengan berkongsi visi yang sama ingin membantu satu sama lain, menyokong kejayaan bersama dan mengukir masa depan yang lebih cerah untuk membantu masyarakat melalui aktiviti perniagaan. Mereka memiliki semangat yang tinggi dan rasa percaya yang mendalam bahawa dengan bersatu, mereka dapat mengubah kehidupan masyarakat sekeliling.
Lalu tertubuhlah sebuah koperasi yang diberi nama KOPERASI ISLAH MALAYSIA BERHAD dengan harapan untuk menjadi platform yang dapat memberi manfaat kepada setiap anggotanya. Pada awalnya, cabarannya begitu besar. Mereka berdepan dengan kekurangan sumber, pengetahuan dan banyak rintangan lain. Namun, sedikit demi sedikit mereka teruskan usaha. Setiap kali kegagalan datang, mereka bangkit semula, belajar dari kesilapan dan terus berjuang.
Kini, setelah 30 tahun berlalu, pimpinan Anggota Lembaga sudah ramai yang berganti hinggalah wujudnya gandingan generasi muda dan lama. Koperasi bukan lagi sebuah impian kecil. Ia telah berkembang menjadi sebuah organisasi yang kuat dan memberi manfaat kepada ribuan anggota. Semua ini terjadi kerana satu prinsip yang tidak pernah dilupakan oleh mereka sejak hari pertama ditubuhkan iaitu “TAAWUN”
Koperasi ini tidak hanya dimiliki oleh Anggota Lembaga, tetapi milik kesemua anggota yang telah setia memberi sokongan. Mereka yang dahulu hanya mampu bermimpi kini telah melihat hasil yang boleh memberi peluang pendapatan, bantuan pendidikan serta kebajikan yang lain untuk mereka nikmati pada hari ini adalah bukti nyata bahawa kewujudan Koperasi ini telah menjadi tempat yang memberikan harapan dan impian.
29 Jun 2024 – ‘Jubli Mutiara’ iaitu sambutan ulang tahun Koperasi Islah Malaysia Berhad yang ke-30, turut dihadiri oleh pemegang nombor anggota 0001 iaitu Tuan Hj Saari Sungib serta jemputan khas iaitu Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan wakil-wakil daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan institusi lain bagi memeriahkan lagi majlis sambutan 30 Tahun KIMB. Datuk Seri Dr Abdul Fattah juga telah merasmikan pelancaran Gold Coin sempena simbolik 30 Tahun KIMB.
Moga kita terus maju bersama, membina masa depan yang lebih gemilang untuk generasi yang akan datang. Setiap langkah yang kita ambil hari ini adalah hasil dari semangat dan kepercayaan yang telah kita semai selama tiga dekad.
Selamat ulang tahun ke-30 KIMB! Kepada semua anggota dan pelanggan yang dihormati, teruslah mencarum bagi menambah dana dan melanggan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Semoga KIMB semakin berkembang dan terus berjaya bersama! Sokongan anda amatlah kami hargai, terima kasih.